SEBELUM kedatangan Yap Ah Loy, pinggiran muara Sungai Gombak dan Sungai Klang telah didiami orang Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugis dan Jawa.
Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang yang pada awalnya hanya digunakan untuk pertanian sara diri dan laluan pengangkutan, akhirnya berubah wajah apabila aktiviti perlombongan bijih timah mula dijalankan sekitar tahun 1850-an.
Penemuan itu secara tidak langsung membawa lebih ramai kemasukan orang Cina dan pedagang-pedagang sehingga Kuala Lumpur kemudian menjadi ibu negeri Selangor.
Atas nama pembangunan juga, orang Melayu yang merupakan penduduk asal di sekitar muara Sungai Gombak dan Sungai Klang hampir pupus.
Tidak mahu ia terjadi, pentadbiran Inggeris telah menubuhkan Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) di utara Kuala Lumpur.
Tujuh buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Periuk, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Pindah, Kampung Paya dan Kampung Hujung Pasir telah disatukan membentuk kawasan penempatan orang Melayu yang dikenali sebagai Kampung Baru.
Hari ini, setelah kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang berkembang pesat, jasa orang Melayu yang terlebih dahulu membangunkan Kuala Lumpur semakin dilupakan.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan jurugambar AHMAD ZAKKI JILAN serta WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB menjejaki waris penduduk asal Kuala Lumpur untuk bercerita sejarah pembukaan ibu negara Malaysia ini.
Di Sebalik Nama Raja Alang
Raja Anuar Raja Mohamed bergambar di hadapan papan tanda Jalan Raja Alang yang mengambil sempena nama nendanya, baru-baru ini.
SETIAP kali tiba Ramadan, Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur akan menjadi sebutan ramai. Populariti bazar Ramadan di sepanjang jalan tersebut adalah luar biasa malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak ketinggalan membeli juadah di situ.
Walaupun nama Raja Alang sering meniti di bibir masyarakat, namun ramai tidak mengenali siapa pemilik nama tersebut yang diabadikan pada jalan itu, yang mana sebelum merdeka ia dikenali sebagai Perkins Road.
Sejarahnya, jalan itu dinamakan semula oleh anak Raja Alang, Datuk Raja Mohamed yang juga pembesar dan Ahli Dewan Diraja Selangor bergelar Engku Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur pada 1950-an. Raja Mohamed diberi penghormatan menamakan jalan itu atas jasa-jasanya dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Beliau tidak menamakan jalan itu dengan namanya sendiri kerana tidak mahu anak-anaknya berperasaan riak.
Berbalik kepada Raja Alang, biarpun tidak banyak diketahui tentang Raja Alang, namun apa yang pasti beliau antara orang Melayu terkaya di Selangor pada 1880-an.
Selain memiliki Estet Raja Alang, keturunan Raja Mandailing itu membina dan mewakafkan sebuah masjid yang juga mengambil sempena namanya di Beranang Hilir, Hulu Langat, Selangor.
Wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN bersama jurugambar, WAHIDIN SALIM, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan SAFRIZAL AZMI menemui waris-waris Raja Alang Raja Berayun bagi berkongsi rahsia di sebalik namanya yang popular itu.
Raja Abdullah yang pertama korek bijih timah
MENYUSURI Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dirasakan sangat istimewa. Dikelilingi pembangunan pesat bandar raya, laluan yang bermula dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Muda Abdul Aziz sehingga ke persimpangan Jalan Dang Wangi itu sememangnya rancak dengan pelbagai aktiviti sama ada siang atau malam.
Daripada tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru kepada Pasar Chow Kit yang penuh bersejarah di Jalan Raja Alang sehingga gelaran syurga gastronomi di Jalan Raja Muda Musa dan sekitarnya menjadikan Jalan Raja Abdullah dekat dalam sanubari warga kota.
Namun, di sebalik kemasyhuran laluan yang juga dikenali sebagai Hale Road satu ketika dahulu, mungkin tidak ramai yang berpeluang mengetahui sejarah dan kisah pemilik namanya, Raja Abdullah Raja Jaafar.
"Raja Abdullah merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur pada hari ini. Jika tidak kerana penerokaan bijih timah yang dilakukannya mungkin Kuala Lumpur tidak wujud sama sekali," kata Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Menjejaki kisah kehidupan Raja Abdullah, beliau berasal daripada keturunan Daeng Parani, salah seorang daripada pahlawan Bugis, Daeng lima bersaudara dari Riau yang terkenal dalam sejarah Tanah Melayu pada kurun ke-18.
Beliau datang ke Lukut pada tahun 1834 bersama abangnya, Raja Jumaat untuk mengusahakan perlombongan bijih timah di situ. Di bawah pentadbiran Raja Jumaat, Lukut telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang terkenal sekitar tahun 1830-an.
Sekitar tahun 1849 dan 1850, Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga telah menyerahkan watikah pelantikan pentadbiran Klang dan daerah sekitarnya kepada Raja Abdullah menggantikan pemerintah sebelumnya, Raja Sulaiman yang mangkat.
Lokasi bijih timah
"Watikah baharu turut diberikan oleh Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad pada 1864. Kekuasaan Raja Abdullah sebagai pemerintah Klang juga dibuktikan melalui surat perjanjian yang dimeterai bersama dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat, William H. Read dan Tan Kim Cheng pada tahun 1866," jelasnya yang berpengalaman lebih 30 tahun melakukan kajian mengenai sejarah Malaysia.
Tambah Abdullah Zakaria, selepas tujuh tahun mentadbir Klang, pada 1857, Raja Abdullah bersama-sama 87 orang buruh Cina telah meneroka lokasi bijih timah di sekitar Sungai Klang sebelum mendarat di Ampang.
SEJARAH awal perkembangan Kuala Lumpur dikatakan bermula di penemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.
Bagaimanapun, sebahagian besar buruh yang dibawa meninggal dunia akibat demam malaria. Ekoran itu, Raja Abdullah terpaksa meminta bantuan abangnya di Lukut yang kemudiannya menghantar lebih 150 buruh tambahan ke Ampang.
"Pada tahun 1859, bijih timah berjaya dikeluarkan buat julung-julung kalinya di situ. Kuala sungai yang menjadi pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak telah dijadikan pangkalan untuk mengangkut bijih timah.
"Ia kemudiannya disimpan di Gedung Raja Abdullah di Pengkalan Batu, Klang sebelum dieksport ke Barat melalui pelabuhan Singapura dan Melaka. Dikatakan pangkalan di bahagian kuala sungai yang agak berlumpur itulah membawa kepada kewujudan nama Kuala Lumpur pada hari ini," ujarnya.
Kerancakan aktiviti perlombongan telah mengubah landskap Kuala Lumpur menjadi sebuah pekan perlombongan yang padat dengan pelbagai aktiviti dan perniagaan. Keadaan itu turut menarik masyarakat luar untuk berniaga dan memulakan kehidupan baharu di situ.
Antaranya ialah Sutan Puasa yang tiba di Kuala Lumpur pada tahun 1859 lalu menjalankan perniagaan sehingga menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya-raya dan disegani.
Beliau yang berasal dari Tobang, Hulu Mandailing, Sumatera berjaya menarik ramai orang Cina ke situ termasuk Kapitan Cina Pertama di Kuala Lumpur, Hiu Siew dan Ah Sze.
Pada 1862, Yap Ah Loy yang sebelum itu bekerja di lombong bijih timah di Lukut turut berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Kapitan Cina Ketiga bermula dari 1868 hingga 1885.
Abdullah Zakaria berkata, tiga-tiga tokoh itu telah memainkan peranan penting terhadap perkembangan dan sejarah awal Kuala Lumpur.
Orang pertama
Katanya, biarpun kajian akademik mengesahkan Raja Abdullah sebagai pengasas Kuala Lumpur, namun ada juga hujah dan pendapat yang menyatakan ia adalah Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.
"Misalnya, Abddur-Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasustion dalam karyanya Raja Bilah and The Maindailing in Perak: 1875-1911 mengangkat Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur.
"Di samping itu, terdapat juga kenyataan menyatakan Yap Ah Loy sebagai bapa Kuala Lumpur moden dan turut diangkat sebagai pengasas Kuala Lumpur," ujarnya.
Justeru, Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi ke-28 anjuran Arkib Negara Malaysia pada 13 Disember tahun lalu yang dihadiri para sejarawan, ahli akademik dan pelbagai organisasi berkaitan dilihat sebagai medium terbaik untuk memperjelaskan isu berkenaan.
"Kesimpulan kepada perbahasan yang dianjurkan, jelas bahawa Raja Abdullah merupakan individu pertama yang meneroka Kuala Lumpur iaitu sebelum kedatangan Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.
PERKEMBANGAN drastik Kuala Lumpur mengubahnya menjadi antara bandar raya yang termaju pada hari ini.
"Ia sekali gus mengesahkan fakta yang tertulis dalam buku Sejarah Selangor oleh Buyong Adil pada tahun 1971 dan Glimpse of Selangor 1860-1898 oleh J.M Gullick bahawa beliau merupakan pengasas Kuala Lumpur," katanya.
Pada tahun 1866, berlaku Perang Kelang atau Perang Saudara Selangor di antara Raja Abdullah dan Raja Mahdi.
Tewas dalam pertempuran itu, Raja Abdullah akhirnya mengundur diri dari Klang. Beliau mangkat dan dikebumikan di Ketapang, Melaka.
Sementara itu, Raja Amzah Raja Sohot, 72, berkata, sebagai salah seorang keturunan Raja Abdullah, beliau berbangga dengan sumbangan yang dilakukan moyangnya itu terhadap sejarah Kuala Lumpur.
Katanya, sejak kecil tidak banyak kisah Raja Abdullah didedahkan kepada beliau dan keturunannya. Begitu juga dengan kejayaan Raja Abdullah membuka Kuala Lumpur dan menjadi orang Melayu pertama yang mengusahakan perlombongan bijih timah ketika itu.
"Orang dahulu sememangnya suka berahsia apatah lagi membabitkan soal keturunan. Lagi pun tidak banyak kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh para sejarawan seperti hari ini. Saya bertuah kerana ibu saudara, Raja Habibah yang merupakan Mak Andam Diraja Selangor sekitar tahun 70-an banyak berkongsi maklumat mengenai Raja Abdullah," katanya yang merupakan generasi kelima tokoh ulung itu daripada keturunan Raja Hasan, penghulu terkenal di Klang satu ketika dahulu.
Bekas pendidik di sebuah sekolah di ibu negara itu memberitahu, daripada kisah-kisah yang diceritakan telah mendorongnya untuk menjejaki dan mengumpulkan keturunan Raja Abdullah, bermula dari Raja Hasan sehinggalah anak-anaknya yang lain.
"Keturunan Raja Abdullah ini ramai, mungkin mencecah ribuan orang di seluruh negara sama ada berhijrah mencari kehidupan baharu atau faktor perkahwinan. Di sebelah saya misalnya ramai yang menetap di sekitar Klang dan Kuala Lumpur, Raja Ismail di Perak dan Raja Empeh di Pahang," katanya.
Silaturrahim
Raja Amzah berkata, pada tahun 2001 hasil usahanya dan waris-waris yang lain, buat julung-julung kali lebih 500 keturunan Raja Abdullah berjaya dikumpulkan dalam satu perjumpaan yang diadakan Kampung Jawa, Klang.
"Sejak itu, perjumpaan yang sama diadakan di sekitar Klang dan Kuala Lumpur. Tujuannya bukan untuk bermegah sebaliknya sekadar merapatkan kembali hubungan kekeluargaan yang terpisah sebelum ini di samping menjaga kebajikan mereka," kata bapa kepada lima cahaya mata itu.
PERHIMPUNAN waris-waris keturunan Raja Abdullah pada tahun 2001 berjaya merapatkan hubungan kekeluargaan yang terlerai selama ini.
Tambah Raja Amzah, kunjungan bapa saudaranya, Raja Abdul Rahim dari Pulau Penyengat, Riau, Indonesia ke Kuala Lumpur sekitar tahun 90-an turut membuka matanya mengenai salasilah Raja Abdullah yang berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis di Luwuk-Sulawesi, melalui keturunan Daeng Parani.
"Sejak itu, saya semakin teruja untuk menjejaki keturunannya dengan lebih mendalam. Kebetulan, penglibatan saya dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor sebelum ini membolehkan saya melawat makam Daeng Parani di Kedah serta Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Kemboja, Daeng Celak di sekitar Indonesia di samping mengenali susur galur keturunannya di sana.
"Sebagai salah seorang keturunannya kami bukan mahu sebarang pengiktirafan, cukuplah generasi muda hari ini mengetahui sejarah dan fakta sebenar," katanya.
Di antara deretan bangunan rumah kedai dan bisnes komersial di celah kesibukan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, rumah kayu ini kekal berdiri sejak lebih lapan dekad lalu tanpa tunduk pada arus perubahan di sekelilingnya. Menakjubkan, bukan?
Tidak sesekali menjadi tanda tanya kalau sesebuah rumah kayu tradisional Melayu terletak di persekitaran luar bandar. Namun persepsi itu pasti bertukar luar biasa jika ia ditemui secara tunggal di celah bangunan konkrit di wilayah komersial Kuala Lumpur.
Kediaman persendirian yang dikunjungi EKSTRA di Jalan Chow Kit ini memang kelihatan unik dari nilai reka bina. Bagaimanapun kedamaian pandangan sedikit terganggu kerana kewujudannya itu seolah-olah dihimpit dimensi zaman dan waktu. Apakah cerita di sebaliknya?
“Di sekitar rumah ini dahulunya sebuah perkampungan yang biasa. Jalan di depan rumah ini cuma laluan tanah yang berkerikil. Rumah pula dibina sebelah-menyebelah. Biasanya setiap penghuni rumah-rumah itu mempunyai pertalian keluarga,” jelas penghuni rumah bernombor 41 itu, Normah Majawali.
KEUNIKAN barangan antik seperti almari dapur dan set congkak berseni menyimpan banyak kenangan Normah Majawali yang sudah lebih tujuh dekad melayari kehidupan.
Menurut wanita berusia 76 tahun itu, rumah tersebut dibina pada tahun 1926 oleh datuknya, Haji Jaafar Sutan Sinombar. Rumah tersebut telah memberi perlindungan kepadanya sejak dilahirkan pada tahun 1932. Ia juga pernah dihuni bersama lebih 10 orang pada satu masa.
Tiada yang janggal dirasakan saat melangkah masuk ke dalamnya. Rumah yang tapak lantainya memanjang ke ruang belakang ini cekap meredam bunyi hiruk-pikuk lalu lintas di luar rumah. Binaan kayunya pula memberi kesan sejuk pada udara di dalam rumah.
Setiap inci dalaman rumah ini mengingatkan seseorang pada ciri sebuah rumah kampung, siap dengan kelengkapan dan barangan usang seperti papan congkak, almari kayu, batu giling rempah serta mesin jahit Singer model lama milik arwah ibu Normah.
Keluarga yang menghuni rumah tersebut, menurut Normah, berasal daripada susur galur keturunan perantau dan pedagang dari Sumatera, Indonesia. Ini termasuklah pertalian darah dengan Sutan Puasa, iaitu tokoh pedagang awal yang bersama-sama membuka kemakmuran Kuala Lumpur bersama Yap Ah Loy.
BIARPUN terhimpit di antara bangunan konkrit di tengah hiruk-pikuk kota, rumah ini masih terasa redup dan tenang ditemani rimbun pokok jambu berusia lebih 40 tahun.
Upaya Normah mengingati dan bercerita tentang detik lampau umpama seorang pemandu pelancong di muzium. Apatah lagi ketika mengulas perubahan yang berlaku di sekitar rumah tinggalan keluarga itu yang kini ‘berjiran’ dengan kedai perabot, ruang pejabat dan bank.
“Ketika tragedi 13 Mei berlaku, kami sekeluarga tidak tinggal dalam ketakutan. Jiran-jiran kami, walaupun ramai yang berbangsa Cina di sekitar rumah ini ketika itu, tidak bermusuhan dengan keluarga kami.
“Mereka yang meminta kami supaya tidak keluar rumah. Malah merekalah yang membelikan makanan termasuk beras untuk kami,” imbasnya.
“Tetapi ketika pendudukan Jepun dahulu, nenek dan anggota keluarga wanita lain telah dipindahkan ke Dusun Tua, Hulu Langat untuk menjauhkan diri daripada tekanan dan ancaman tentera Jepun. Hanya saudara lelaki yang menjaga rumah ini sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
MAZRI (kiri) dan anaknya, Didi Affendi dengan Normah ibarat saudara dekat.
Normah bagaimanapun memahami rentak takdir. Masa yang terus berlalu menyaksikan satu demi satu leluhur terdahulunya kembali kepada Yang Maha Kuasa. Generasi terakhir daripada adik-beradik sebelah ibu Normah telah meninggal dua tahun lalu.
Hari ini, Normah yang masih menerima pencen daripada perkhidmatan terakhirnya di Pejabat Pos Kuala Lumpur, tegar mengadaptasi perubahan pantas di sekelilingnya.
Normah yang sesekali terdengar menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan sudah lali pada transisi hebat itu.
Daripada sebuah perkampungan tenang kini menjadi bandar raya yang dipalit seribu warna kehidupan metropolitan. Biarpun begitu, Normah tidak pernah menganggap perubahan itu sesuatu yang mencalar ingatan dan kenangan manisnya.
“Ada banyak sebab mengapa rumah ini begitu istimewa. Selain menjadi warisan pusaka keluarga kami, saya tidak menghadapi banyak masalah selama tinggal di sini. Kalau anak cucu jauh, ada yang dekat akan bertanya khabar,” akui Normah.
Antara lain, Normah merujuk pada kehadiran Mazri Mohd Isa, 50, dan anaknya, Didi Affendi, 32. Dua beranak yang berniaga di medan selera, betul-betul di hadapan rumah pusaka itu sudah Normah anggap seperti ahli keluarganya sendiri.
PERTUKANGAN kayu di tangga rumah ini merupakan binaan yang asal.
“Saya sekadar mengambil berat. Lagipun bimbang kalau dia sakit atau memerlukan bantuan,” ujar Mazri.
“Daripada saya bujang sampailah berkahwin dan mempunyai anak, perkara yang amat saya ingati mengenai penghuni rumah ini adalah kemesraan dan keakraban antara ahli keluarga mereka. Seronok melihat mereka sentiasa bersama.”
Dalam bercakap soal lokasi rumah dan perhatian, tertanya juga tentang sesuatu. Memandangkan rumah ini terletak di tepi siar kaki yang sibuk dan sentiasa terbuka pada pandangan orang ramai dengan pelbagai niat, pernahkah ada yang cuba menceroboh?
“Ada juga. Tapi syukur tiada yang buruk berlaku,” kata Didi. “Entah percaya atau tidak, khabarnya rumah ini ada yang ‘menjaga’ dan sudah ‘dipagar’.
“Janganlah ada sesiapa berniat buruk, bimbang nanti tidak jumpa jalan keluar. Pernah ada beberapa kali cubaan memecah masuk, tetapi akhirnya orang yang ‘bertandang’ itu tidak meneruskan niatnya. Mereka tidak mengambil apa-apa.
“Bukan apa. Lagipun, memang tak ada barang berharga untuk diambil,” celah Normah tersenyum.
Sememangnya lokasi tapak tersebut menarik minat ramai pihak yang ingin memujuk Normah melupakan status hak milik dengan tawaran harga yang tinggi. Hartanah itu kali terakhir ditawar pada harga RM2 juta beberapa tahun lalu.
Namun semua tawaran itu akhirnya dihampakan pendirian Normah dan ahli keluarga lain yang setia pada penjagaan pusaka tersebut.
“Selagi boleh, kami tidak mahu menjualnya. Rumah ini menyimpan banyak cerita keluarga ini. Lagipun pemilikan rumah ini mempunyai beberapa nama waris. Saya berharap agar semua waris terus sepakat.”
Rumah ini pernah menjalani proses pemuliharaan bernilai lebih RM10,000 yang ditanggung Jabatan Warisan Malaysia pada tahun 2006.
Bagi Normah, kedudukan rumah pusaka itu perlu dipertahankan oleh waris-waris yang ada. Biar apa pun berlaku, rumah itu diharapkan kekal dijaga dengan baik.
Ia sememangnya lambang kenangan untuk cucu cicitnya, selain menjadi mercu tanda warisan untuk masyarakat yang ingin menghayati perca sejarah Kuala Lumpur.
“Sekarang nenek jaga diri sendiri. Anak cucu ada datang melawat bila berkesempatan. Kalau mereka tiada, budak-budak inilah (menunjuk pada Didi dan Mazri) yang menjenguk nenek.
“Selagi nenek sihat, insya-Allah nenek boleh berkongsi cerita dengan sesiapa yang datang ke sini,” ujarnya sebelum perbualan petang itu diakhiri dengan sesi bergambar di hadapan teratak teguh itu.
Krew EKSTRA bagaimanapun sedikit rasa bersalah ketika meminta Normah meninggalkan kerusi rehatnya bagi mengikut kehendak jurugambar. Bimbang kalau permintaan itu keterlaluan dan memenatkan. Mazri cepat-cepat mendekatkan sepasang selipar di depan pintu untuk dipakai Normah.
SETIAP barangan lama menjadi jambatan nostalgia bagi waris-waris penghuni rumah bernombor 41, Jalan Chow Kit ini.
“Apa pula selipar, kasut nenek ada ni. Cantik sikit,” ujarnya yang tiada masalah membongkok mengambil kasut kegemarannya di rak-rak. Telatah mesranya itu membuatkan kami ketawa.
“Tak apa. Nenek boleh jalan. Siapa kata nenek sudah tua dan tak kuat? Gunung pun masih lagi boleh panjat. Inikan pula hendak diambil gambar. Mari!”
SETIAP barangan lama menjadi jambatan nostalgia bagi waris-waris penghuni rumah bernombor 41, Jalan Chow Kit ini.