Adapun yang dinamai Mandailing itu, adalah terbahagi atas dua bahagian: pertama Groot Mandailing dan Patang Natal: kedua Klein Mandailing Ulu dan Pakantan. Juga raja-raja pada kedua luhak itu berbahagi atas dua suku; iaitu raja-raja Mandailing Besar bersuku "Nasution", (nasaktion): ertinya suku kiramat, di Mandailing kecil ialah suku (Lubis), maka nama suku Lubis itu, yang diambilnya daripada nama seseorang orang Pulau Sulu namanya Si Angin Bugis, kelak akan datang bicaranya. Sekarang sudah 17 sundut orang, telah lalu, adalah kedapatan diluhak Mandailing ini, dua raja yang termasyur, pertama Sutan Perampun di Padang Garugur, kedua Sutan Pulungan di Huta Bargot. Alkisah tersebutlah satu riwayat, pada satu hari, pergilah Sutan Pulungan raja Huta Bargot yang tersebut berburu-buru rusa, dengan beberapa pengiringnya. Takdir Allah menyalaklah anjingnya, yang bernama Sampaga-Tua, maka berebutlah segala pengiringnya mengejar perburuan itu, tiba-tiba dilihat mereka itu kiranya seorang anak laki-laki yang disalak anjing itu, terletak di atas batu, yang dibungkus dengan kain sutera pelangi, di bawah sepohon kayu beringin. Maka anak itu pun diambil oranglah dan dibawa kepada Sutan Pulungan, selalu di bawa pulang ke kampung dan diberikan kepada seorang budak perempuan namanya Sauewa, maka dipiaranjalah anak itu dengan sepertinya.
Kata setengah riwayat, sebab si Sauewa tiada mempunyai air susu, maka disusukannyalah anak itu kepada seekor.......yang sedang menyusukan anaknya, tempat itu dinamai (Bauroar), sebab itulah anak itu dinamai Nabauroar, tetapi setengah riwayat Nabauroar itu diambil daripada nama seorang laki-laki yang dijadikan pengasuhnya anak itu, maka Nabauroar pun semakin hari semakin besar. Kata sahibulhikayat, Sutan Pulungan ada mempunyai seorang anak laki-laki yang sama besar dan serupa dengan Nabauroar, bak pinang dibelah dua, sebab itulah acap kali orang kampung dan hamba-hambanya, sesat memberi hormat dan memberi makan, oleh kerana itulah mendatangkan cemburu kepada Sutan Pulungan dan isterinya. Hatta pada suatu hari, waktu Sutan Pulungan hendak menegakkan istana, maka diperintahkannya, supaya Nabauroar dijadikan alas tiang di busur (tiang tua) istana itu, dan diberi bertanda dengan joreng sadah dikening Nabauroar.
Takdir Allah anak Sutan Pulungan menjoreng keningnya pula dengan sadah, seperti joreng kening Nabauroar. Setelah Si Sauwa mendengar khabar bahawa Nabauroar akan dijadikan alas tiang tua istana, maka dengan segera dibawanya lari anak itu dan bersembunyi pada sebuah dangau sawah yang tinggal, yang sudah dipalut oleh akar-akar. Jadi ditangkap oranglah anak Sutan Pulungan selalu di alaskannyalah ke tapakan tiang istana rumah gedang, hingga mati. Waktu hendak makan, ributlah orang mencari anak Sutan Pulungan itu, maka tatkala ketahuan bahawa yang dialaskan itu anak Sutan Pulungan, maka orang carilah Nabauroar, tatkala mereka itu sampai hampir dangau tadi, maka berbunyilah burung ketitiran di bubungan dengan dangau itu, jadi pada persangkaan orang itu, tentu tiada orang di situ, bila berorang, nyatalah ketitiran itu, tiada berani hinggap di situ, maka kembalilah mereka itu, sebab itulah segala keturunan Nabauroar marsabang (berpantang) makan burung ketitiran, sampai kepada masa ini. Syahadan Nabauroar pun di bawa lari oleh Si Sauwah ke seberang Aek Gadang (Batang Gadis) sehingga damai perumahan itu "perbagasan babiat soboeon", itulah tempat perumahan istana Panyabungan Tonga yang sekarang. Cerita ini dipendekkan sahaja, kerana banyak dalamnya cerita yang tiada kena oleh akal, apa lagi penulis bermaksud sekadar berguna taal-land-en volkenkunde saja. Di situlah Nabauroar digelar Sutan Diaru, dan merajai dua kampung yang dinamai anak ni Dolok anak ni Lombang. Tempat itulah pertengahan pada segenap kampung yang berkeliling di sana, maka orang perbuatlah tempat itu, tempat perjudian sabung ayam, sebab itulah tempat itu orang namakan Panyabungan sampai kepada masa sekarang. Lama kelamaan tempat itu, menjadi ramai, dan lagi Sutan Diaru, sangat dicinta oleh anak buah, kerana budinya sangat baik, dan amat ditakuti orang, sebab persangkaan orang Sutan Diaru anak dewa. Sungguhpun Sutan Pulungan sudah tahu, bahasa Nabauroar ada di Panyabungan, tetapi ia tiada berani lagi, hanya berdendam sahaja di dalam hatinya. Apakah sebab Nabauroar serupa dengan anak Sutan Pulungan itu? Sungguhpun penulis memaklumi hal itu, akan tetapi beratlah rasanya akan menerangkan itu, melainkan tersebut di dalam tambo, Nabauroar anak dari Iskandar Shah. Itulah laksana hikayat Tuanku, Pagar Ruyung, yang asalnya dari buah kerambil nyiur gading yang dipanjat oleh Salamat Panjang Gombak; di manakah nyiur gading itu sekarang? Maka oleh kerana saktinyalah Nabauroar itu, disebut orang suku Nasution. Adapun Sutan Diaru itu, mempunyai seorang anak yang amat berbahagia ialah Baginda Mangaraja Enda. Baginda inilah yang mengembangkan dan memasyurkan kerajaan Panyabungan. Masa baginda inilah Sutan Perampuan Padang Garugur dialahkan perang. Adapun perang ini asalnya, dari seorang budak Baginda bernama Ompu ni Mangarung terbunuh di Lumban Kuajan (Surumatinggi Ankola Jae) oleh Raja Bengkas, saudara dari Sutan Perampuan. Dalam perang ini, adalah 4 raja-raja serikat melawan Baginda; iaitu, Padang Garugur, Sutan Mendeda, Huta Bargot, Raja Gumanti Porang, Pidoli Dolok, Raja Sordang Nagori, Pidoli Lombang, lagi dibantu seorang panglima yang amat berani,Baruang Sodangdangon, namanya, orang dari Mura Tais Ankola Jae. Pada peperangan ini, menanglah baginda Mangaraja Enda. Oleh kerana Baruang Sodangdangon, panglima yang tersebut di atas berkhianat dan juga oleh kerana kegagahan seorang putera Baginda yang bernama Sutan Kumala Sang Yang di Pertuan Raja Huta Siantar. Adapun Sutan Kumala Sang Yang di pertuan orang sebut anak dewa jua, kerana buru Lubis Ruburan Dolok isteri yang pertama dari Baginda Mangaraja Enda, sudah tua, tetapi belum berputera. Dengan takdir Allah hamillah permaisuri itu dengan tiada disamai oleh Baginda, hal ini mendatangkan cemburuan baginya. Pada suatu malam diintai oleh Baginda pada istana permaisuri itu, maka terlihatlah oleh Baginda datang suatu cahaya merahapi kepada permaisuri itulah yang dijadikan bapak oleh Sang Yang di Pertuan. Alkisah waktu putus waris raja di Lumban Sibaguri, dijemput oranglah Sang Yang di Pertuan menjadi raja di Lumban Sibaguri, maka dihantarlah ke sana dengan segala adat kebesaran, sebab itulah Lumban Sibaguri ditukar nama dengan Huta Siantar, sebab rajanya, yang dihantar ke sana. Masa itulah Mandailing besar terbahagi atas dua bahagian 1. Mandailing Julu, 2. Mandailing Jae; segala yang takluk kepada Sang Yang di Pertuan dinamai Mandailing Julu dan segala yang takluk kepada Baginda Mangaraja Enda dinamai Mandailing Jae, dan diwataskan di Batu Gondit dan Ajuara Sijumbe Porang. Waktu perang Padang Garugur sudah selesai, maka cerai berailah segala raja yang 4 serikat itu. Sutan Perampuan dan anak saudaranya Raja Iro Rongit Sigongonan lari ke Aiti (Tamusek). Pihak Maharaja Tinaja tinggal di Mompang, itulah keturunannya Kepala Kuria Aek na Ngali yang sekarang. Raja Gumanti Porang dan Sordang Nagori lari ke Rao, keturunan itulah Tuanku Laras Sontang dan Cubadak, dan Sutan Mandeda tinggal di Huta Bargot juga, sekarang sudah jadi jajahan Panyabungan. Adapun kepada kuria Pidolo, Gunung Tua, Baringin, Maga, Muara Sama dan Muara Perlampungan ialah turunan Sutan Kumala Sang Yang di Pertuan Huta Siantar. Adapun sekelian raja-raja (kepala bumiputera) di keresidinan Tapanuli yang terutama sekali, banyak berbuat bakti kepada daulat Government, ialah raja-raja Mandailing, sebab penolong Government waktu perang paderi, dan beberapa yang ternama di dalam perang Bonjol dan Rao, seperti regent Raja Gadumbang, yang di Pertuan Kota Siantar, Gegar Tengah Hari Limo Manis dan lain-lain, apa lagi sampai sekarang amat bersetia dan berkhidmat kepada Government. Sejak kerajaan Baginda Mangaraja Enda dan Sang Yang di Pertuan, sampai sekarang, termasyurlah tanah Mandailing sampai ke mana-mana, hingga orang Batak, yang pergi merantau ke mana-mana menyebutkan yang ia orang Mandailing jua, sebab pada negeri lain-lain, orang belum kenal. Kata sahib berita, pada masa kerajaan Majapahit di Tanah Jawa, adalah seorang nakhoda, orang dari Pulau Sulu bernama si Angin Bugis belayar ke Tanah Jawa, maka menyabunglah nakhoda itu di sana. Dalam perjudian menyabung ayam ini, ia selalu kalah, hingga habis hartanya, tetapi pada suatu hari dapat oleh si Angin Bugis tuah ayam pusakanya, yang dinamakan "Ijo bingkuang putih buatan tukang Majapahit". Adapun sebab dinamainya tuah ayam itu buatan tukang Majapahit, sebab pada ketika ayam itu dibubuh orang, kedapatanlah padanya dijaitkan orang Majapahit biji sawi hitam. Maka ayam si Angin Bugis inipun menang hingga kembali segala kekalahannya, sampai sekarang tuah ayam yang tersebut, menjadi pusaka bagi keturunannya di tanah Mandailing. Maka si Angin Bugis pun kahwinlah di tanah Jawa beroleh anak laki-laki, Raden Patah namanya. Raden Patah inilah pergi berlayar ke Sumatera pesisir Barat dan mengadu kerbau dengan raja Pagar Ruyung, itulah asal nama Menang Kerbau. Sesudah Raden Patah kalah daripada mengadu kerbau itu, maka berlayarlah ia nenuju sebelah utara dan meninggalkan seorang anaknya di Muara Sijongkuang bernama Namora Pandai Besi. Namora Pandai Besi pun mudiklah ke hulu sampai ke Siondop yang sekarang, akan tetapi ia tiada tinggal di sana, sebab di situ sudah ada raja keturunan Tuan Tongga Magek Jabang dari Pariaman, Ranggar Laut namanya, itulah keturunan Siondop dan Surumatinggi Ankola. Namora Pandai Besi, singgah di Partihaman dekat Losung Batu sekarang, dan ia menjadi seorang dukun yang sangat dihormati orang. Syahadan pada suatu hari, adalah raja dari Pijorkoling, mendapat penyakit keras sekali, maka dipanggillah Namora Pandai Besi akan mengubati raja itu, setelah diubatinya raja itu pun sembuhlah dari penyakitnya. Namora Pandai Besi meminta jadi selimut yang lebar, iaitu sepotong tanah, itulah Lobu Sitardas yang dekat Tolang sekarang. Maka Namora Pandai Besi mendirikan kampunglah di sana dan menjadi raja di situ, lagi ia sangat pandai di dalam pekerjaan tukang besi, sampai sekarang masih banyak keris buatannya yang dijadi pusaka bagi keturunannya dan kepada orang lain juga. Kata Sahibulhikayat, maka pada suatu hari, Namora Pandai Besi pergi menyumpit burung ke Ajuara na Bobar namanya, (sepohon kayu beringin). Maka Namora Pandai Besi, menyumpitlah dari satu tempat yang sudah diperbuatnya di atas dahan kayu beringin itu, maka banyaklah yang sudah jatuh burung yang disumpitnya itu, lalu turunlah ia, tetapi seekorpun tiada diperolehinya, jadi hairanlah ia memikiri hal itu maka bersembunyilah ia lalu menyumpit pula, tatkala burung itu jatuh, nampaklah padanya datang seorang perempuan mengambil burung yang jatuh kena sumpit itu. Setelah Namora Pandai Besi, melihat perempuan itu, maka turunlah ia, lalu ditangkapnya perempuan itu, hingga regang meregang, akhirnya perempuan itu membawa dia ke rumah bapanya, dan iapun kahwinlah dengan perempuan itu. Kata setengah riwayat perempuan itu anak Lubu, kerana sekarang pada gunung barisan yang bersambung dengan gunung di situ, terdapat beberapa Lubu. Tetapi pada pendapat penulis ini, boleh jadi dari anak orang bunian, kerana sekarang adalah terdapat, yang disebut orang kampung, orang si Buniandi Nabundong jalan ke Padang Lawas, bertentangan dengan kayu beringin yang tersebut di atas. Sesudahnya hamil perempuan itu, Namora Pandai Besi pun kembali ke kampungnya. Setelah genap bulannya, dilahirkan anak Namora Pandai Besi, kembar, iaitu dua orang laki-laki yang dinamai oleh maknya Si Baitang dan Si Langkitang. Sesudah itu Si Baitang dan Si langkitang berumur 16 tahun maknya pun menyuruh mereka itu mencari bapanya; maka pergilah mereka itu mencari bapanya, Namora Pandai Besi. Lama kelamaan sampailah mereka itu di Lobu Sitardas, di mana kampung bapanya. Maka maklumlah bagaimana besar hati Namora Pandai Besi waktu ia tahu, bahawa kedua anak itu anaknya. Adapun Si Baitang dan Si Lankitang, tinggallah dengan bapanya, bekerja tukang besi. Oleh kecekapan dan kepandaian kedua anak itu, maka cemburuanlah isteri Namora Pandai Besi yang tua, kerana pada sangkanya, tentu anaknya nanti terbelakang dan Si baitang serta Si Langkitang termuka. Oleh sebab itu, setiap hari dicacinya kedua anak itu dan dikatanya anak binjajak, anak binjajau, anak singiang ngiang rimbo, anak dapat di tepi bandar. Oleh kerana maki dan nista itu, muafakatlah kedua anak itu akan pergi dari sana lalu pergilah mereka itu minta izin dari bapanya, dan bapanya pun memberi izin, dan memberikan tanduk kerbau muring dan sebuah sumpitan; maka kedua barang itu, kiranya telah diisi oleh Namora Pandai Besi dengan emas, supaya bininya jangan tahu ia memberikan emas itu. Maka pergilah mereka itu dan tinggal berladang diluar kampung, tiada begitu jauh dari kampung itu. Waktu Namora Pandai Besi meninggal dunia datanglah Si Baitang dan Si langkitang membawa seekor kerbau akan turut berkabung, dalam hal itu, isteri Namora Pandai Besi dan anak-anaknya tiada memberi izin mereka itu masuk di kampung Sitardas, maka dipotongnya kerbau yang dibawanya mereka itu di luar kampung itu, diikatnya di mana sepohon kayu bangsa patai,yang pucuknya dihantakkan ke tanah, sampai kini dahan kayu itu semuanya mengadap ke bawah, yang orang namai pohon itu "rampa simanunggaling". Setelah selesai daripada yang demikian itu, maka pergilah mereka itu mencari tempat tempat, di mana ada bersua muara batang air yang bertentangan, kerana sepanjang usiat bapanya Namora Pandai Besi. Maka bersualah mereka itu dengan muara batang air bertentangan di Kota Nopan, maka tinggallah mereka itu di situ mendirikan kampung, itulah kampung yang dinamai Si Ngengu. Si Baitang tinggal di Si Ngengu, itulah keturunan kepala kuria Si Ngengu, Tambangan dan Surumatinggi, dan Si langkitang pergi arah ke mudik, itulah keturunan kepala kuria Tamiang, Manambin, Pakantan Lambah dan Pakantan Bukit; demikianlah tambo kedua keturunan ini ditulis dengan ringkas sahaja menurut karangan Raja Mulia.